Krisis Kepimpinan dan Mentaliti Percuma dalam Organisasi Silat: Antara Amanah, Komitmen dan Masa Depan Generasi Pesilat

•

Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie
Martial Arts & Combat Sports Research Network (AIRBORNE)
Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

SAKTI SILAT 7
Siri Artikel Kepimpinan, Tadbir Urus dan Integriti Silat

Tema: Membina Organisasi, Memimpin Generasi, Melestarikan Warisan

Pendahuluan

Silat hari ini berada pada satu persimpangan yang menarik. Pada satu sisi, Silat terus dipertahankan sebagai warisan budaya, seni mempertahankan diri dan identiti masyarakat Melayu. Pada sisi yang lain, Silat berkembang sebagai sukan prestasi, sistem pendidikan, medium pembangunan belia, bidang penyelidikan, industri serta wahana hubungan antarabangsa.

Perkembangan tersebut sebenarnya menunjukkan bahawa Silat tidak lagi boleh dilihat melalui satu dimensi sahaja.

Kurikulum Seni Silat Malaysia sendiri memperlihatkan bahawa pembangunan Silat boleh merangkumi aspek seni, mempertahankan diri, tempur dan persediaan untuk Silat Olahraga (Shapie & Elias, 2016). Malah, penelitian terhadap pembangunan pesilat muda menegaskan bahawa pembangunan Silat yang holistik perlu dilaksanakan secara berstruktur, metodologi dan sistematik, merangkumi bukan sahaja pertandingan dan pertahanan diri tetapi juga sains sukan, kesihatan, kesejahteraan, pembangunan kognitif, nilai kemanusiaan dan kemahiran sosial (Abdul Razak et al., 2022).

Oleh itu, persoalan besar bagi setiap guru dan pemimpin Silat pada hari ini bukan lagi sekadar:

“Silat apa yang kita ajar?”

Sebaliknya:

“Ke mana kita mahu membawa Silat dan ke mana kita mahu membawa anak-anak murid kita?”

Di sinilah muncul satu masalah yang jarang dibincangkan secara terbuka: krisis hala tuju, krisis kepimpinan dan mentaliti percuma dalam sesetengah organisasi Silat.

Apabila Guru Sendiri Tidak Mengetahui Hala Tuju

Tidak semua perguruan Silat mesti mempunyai matlamat yang sama.

Ada perguruan yang mahu mengekalkan Silat sebagai warisan budaya.

Ada yang membangunkan Silat melalui pertandingan.

Ada yang memberi tumpuan kepada seni persembahan.

Ada yang menjadikan Silat sebagai medium pendidikan kanak-kanak.

Ada yang memberi tumpuan kepada pertahanan diri.

Ada yang bergerak melalui penyelidikan, sains sukan dan pembangunan prestasi.

Ada juga yang menggabungkan beberapa pendekatan tersebut.

Semua ini boleh diterima.

Yang menjadi masalah ialah apabila sesebuah perguruan atau seseorang guru tidak mempunyai hala tuju yang jelas sama sekali.

Sukan pun tidak.

Budaya pun tidak.

Pendidikan pun tidak.

Pembangunan atlet pun tidak.

Penyelidikan pun tidak.

Pengembangan organisasi pun tidak.

Tetapi pada masa yang sama, semua pendekatan orang lain dikritik.

Dalam keadaan begini, masalah sebenar bukan lagi perbezaan aliran Silat. Masalahnya ialah ketiadaan visi.

Kajian mengenai perkembangan Silat daripada peringkat kanak-kanak kepada remaja menunjukkan bahawa pembangunan yang berkesan memerlukan suatu proses yang tersusun dan menyeluruh (Abdul Razak et al., 2022).

Ini bermakna seorang guru tidak memadai sekadar mengetahui teknik.

Seorang guru juga perlu memahami arah perkembangan muridnya.

Selepas lima tahun berlatih, murid hendak menjadi apa?

Selepas sepuluh tahun, apakah kompetensi yang telah dibentuk?

Adakah mereka mempunyai peluang menjadi atlet, jurulatih, pemimpin, pengadil, penyelidik, penggiat budaya atau pewaris perguruan?

Jika guru sendiri tidak mampu menjawab soalan tersebut, maka murid sebenarnya sedang berjalan jauh tanpa mengetahui destinasi.

Kepimpinan Silat Bukan Sekadar Gelaran

Dalam budaya seni bela diri, gelaran mempunyai nilai simbolik yang tinggi.

Guru.

Jurulatih.

Pendekar.

Mahaguru.

Presiden.

Pengerusi.

Tetapi organisasi tidak berkembang kerana gelaran.

Organisasi berkembang kerana kepimpinan yang berfungsi.

Kajian mengenai kepimpinan dalam organisasi seni bela diri menekankan bahawa hala tuju organisasi, matlamat dan strategi merupakan elemen penting dalam membincangkan keberkesanan kepimpinan. Kajian dalam konteks jurulatih Silat Olahraga pula menunjukkan hubungan positif antara beberapa bentuk tingkah laku kepimpinan jurulatih—termasuk latihan dan arahan, tingkah laku demokratik serta sokongan sosial—dengan kepuasan atlet (Shapie et al., 2016).

Ini membawa satu pengajaran penting:

Kepimpinan bukan tentang berapa ramai orang memanggil seseorang “guru”. Kepimpinan ialah apa yang berlaku kepada manusia yang berada di bawah bimbingannya.

Dalam konteks seni bela diri yang lebih luas, kajian Bickford (2020) turut menunjukkan bahawa kepimpinan dan komunikasi merupakan sebahagian daripada pengalaman penting yang dinilai oleh pengamal, jurulatih dan ibu bapa dalam persekitaran seni bela diri.

Justeru, seorang guru Silat tidak seharusnya hanya mewariskan teknik.

Guru mewariskan cara berfikir.

Guru mewariskan nilai.

Guru mewariskan budaya organisasi.

Dan kadangkala tanpa disedari, guru juga mewariskan ego dan kelemahan dirinya sendiri kepada generasi berikutnya.

Fenomena “Free-Rider”: Mahu Manfaat, Tidak Mahu Menanggung Tanggungjawab

Salah satu masalah yang perlu dibicarakan dengan lebih matang dalam organisasi Silat ialah apa yang dikenali dalam teori organisasi sebagai free-rider problem.

Konsep ini dikaitkan dengan teori tindakan kolektif oleh Mancur Olson (1965). Secara mudah, free rider ialah individu yang mahu menikmati manfaat yang dihasilkan oleh sesebuah kumpulan tetapi cuba mengelakkan kos, sumbangan atau tanggungjawab yang diperlukan untuk menghasilkan manfaat tersebut.

Fenomena ini bukan sekadar teori lama. Kajian kontemporari terhadap persatuan bukan untung turut mengenal pasti free riding sebagai salah satu cabaran kepada keahlian dan tindakan kolektif organisasi (Frasier, 2025).

Dalam organisasi Silat, mentaliti ini boleh muncul dalam pelbagai bentuk.

Mahukan program, tetapi tidak mahu membantu mengurus program.

Mahukan pertandingan, tetapi tidak mahu menjadi petugas.

Mahukan sijil, tetapi tidak mahu mengikuti proses pembangunan.

Mahukan pengiktirafan, tetapi tidak mahu memberikan komitmen.

Mahukan bantuan kebajikan, tetapi yuran keahlian sendiri tidak dibayar.

Mahukan organisasi membayar perjalanan, penginapan, makan, peralatan atau penyertaan, tetapi apabila organisasi memerlukan sumbangan, semuanya dianggap membebankan.

Lebih pelik apabila perkataan yang paling banyak digunakan dalam perjuangan ialah:

“Free ada?”

Di sinilah kita perlu membezakan antara kebajikan dengan kebergantungan.

Organisasi yang prihatin memang perlu mempunyai kebajikan ahli.

Tetapi kebajikan tidak bermaksud semua perkara mesti diberikan secara percuma.

Yuran Bukan Lawan kepada Keikhlasan

Dalam sesetengah komuniti tradisional terdapat salah faham bahawa mengenakan yuran seolah-olah bercanggah dengan perjuangan atau keikhlasan.

Pemikiran ini perlu diperbetulkan.

Ikhlas ialah nilai moral. Yuran ialah mekanisme pengurusan.

Kedua-duanya bukan perkara yang sama.

Sebuah organisasi memerlukan wang untuk menganjurkan latihan, mesyuarat, kursus, pertandingan, pembangunan jurulatih, dokumentasi, komunikasi, pentadbiran, insurans, sewaan, peralatan dan kebajikan.

Jika sebuah persatuan mempunyai 500 ahli tetapi hanya 50 orang yang konsisten membayar yuran, siapakah sebenarnya membiayai manfaat yang dinikmati oleh 450 orang yang lain?

Akhirnya akan berlaku satu keadaan yang tidak sihat:

segelintir orang bekerja, segelintir orang membayar, tetapi ramai mahu menikmati hasilnya.

Dalam jangka pendek organisasi mungkin masih mampu bertahan kerana terdapat beberapa individu yang sanggup berkorban.

Dalam jangka panjang, individu-individu ini akan keletihan.

Apabila penyumbang utama berhenti menyumbang, organisasi menjadi lumpuh.

Maka masalah sebenar bukan kerana persatuan “tidak mempunyai duit”.

Masalahnya ialah budaya tanggungjawab bersama tidak pernah dibina.

Kebajikan Tidak Boleh Bergantung kepada Poket Beberapa Orang

Ada juga organisasi yang mahu melaksanakan pelbagai program kebajikan tetapi sumber kewangannya sentiasa bergantung kepada orang yang sama.

Apabila ada ahli sakit, orang yang sama diminta membantu.

Apabila ada pertandingan, orang yang sama diminta menaja.

Apabila memerlukan pengangkutan, orang yang sama dicari.

Apabila memerlukan hadiah, makanan atau tempat, sekali lagi orang yang sama dipanggil.

Pada masa yang sama, sebahagian ahli tidak membayar yuran.

Keadaan ini tidak boleh dianggap sebagai model kebajikan yang mampan.

Itu ialah pemindahan beban daripada organisasi kepada beberapa individu yang baik hati.

Sebuah organisasi yang matang perlu mempunyai sistem kewangan, struktur keahlian, kutipan yuran, sumber pendapatan, perancangan program dan akauntabiliti.

Begitu juga dalam pembangunan seni bela diri sebagai sebuah institusi. Kajian Hassim et al. (2022) mengenai proses formalisasi dan sportization pertubuhan seni bela diri di Malaysia menunjukkan bahawa struktur perundangan, pendaftaran, tadbir urus dan penyelarasan institusi merupakan sebahagian daripada cabaran pembangunan seni bela diri. Konflik antara badan penaung dan ketidakselarasan struktur boleh menghalang proses pembangunan.

Dengan kata lain, Silat tidak boleh bergerak hanya melalui semangat.

Semangat perlu diterjemahkan kepada sistem.

Jangan Menggunakan “Perjuangan Silat” untuk Mengambil Kesempatan

Lebih membimbangkan ialah apabila bahasa perjuangan digunakan untuk mewajarkan kepentingan peribadi.

Ada yang bercakap mengenai perjuangan ketika memerlukan bantuan.

Bercakap mengenai persaudaraan ketika memerlukan sokongan.

Bercakap mengenai warisan ketika memerlukan dana.

Bercakap mengenai “keluarga Silat” ketika mempunyai masalah.

Tetapi apabila organisasi memerlukan mereka, semangat tersebut hilang.

Perlu dibezakan antara orang yang benar-benar memerlukan bantuan dengan orang yang menjadikan sistem kebajikan sebagai cara hidup organisasi.

Memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan adalah nilai yang baik.

Tetapi membenarkan seseorang mengambil kesempatan secara berterusan bukan lagi kebajikan.

Ia boleh menjadi suatu bentuk enabling behaviour yang akhirnya mengukuhkan budaya tidak bertanggungjawab.

Lebih tidak wajar apabila seseorang menggunakan nama persatuan, jaringan orang lain, pengaruh guru atau usaha rakan seperjuangan untuk membina kedudukan sendiri tetapi enggan memberikan semula sesuatu kepada organisasi yang membantunya.

Silat mengajar adab.

Maka hubungan organisasi juga mesti mempunyai adab.

“Sikap Pendekar” Sepatutnya Melahirkan Tanggungjawab, Bukan Hak Istimewa

Silat secara tradisional bukan sekadar suatu sistem pertarungan. Ia berkait dengan budaya, adat, identiti, senjata, nilai dan pembentukan sikap. Shapie (2021), melalui perbincangan mengenai Sikap Pendekar, meletakkan Silat dalam lingkungan budaya dan pembentukan manusia yang jauh lebih luas daripada kemenangan fizikal semata-mata.

Senarai penyelidikan Silat yang dikemukakan juga menunjukkan perkembangan bidang ini daripada kurikulum, pembangunan atlet dan sains sukan kepada kepimpinan, warisan serta pembangunan organisasi.

Maka seorang pendekar tidak sepatutnya sentiasa bertanya:

“Apa persatuan boleh beri kepada aku?”

Sebaliknya dia juga perlu bertanya:

“Apa yang aku boleh tinggalkan kepada persatuan dan generasi selepas aku?”

Inilah perubahan mentaliti yang diperlukan.

Daripada entitlement kepada contribution.

Daripada pengguna kepada pembina.

Daripada pengikut kepada pewaris.

Yang Paling Membimbangkan: Anak Murid Sedang Memerhatikan

Semua kelemahan organisasi akhirnya membawa kita kepada persoalan yang paling besar.

Ke mana anak-anak murid akan pergi?

Anak murid belajar bukan hanya melalui arahan formal.

Mereka belajar melalui pemerhatian.

Jika seorang guru sentiasa mengelak membayar yuran, murid belajar bahawa komitmen organisasi tidak penting.

Jika guru hanya hadir apabila ada manfaat, murid belajar menjadi oportunis.

Jika guru sentiasa bergaduh dengan persatuan, murid belajar bahawa konflik ialah norma.

Jika guru memusuhi semua orang yang berbeza pendapat, murid belajar melihat perguruan lain sebagai musuh.

Jika guru menolak ilmu baharu kerana ego, murid kehilangan peluang berkembang.

Jika guru mengambil kesempatan daripada orang lain, murid mungkin menganggap itulah cara seorang “orang Silat” berfungsi.

Di sinilah kegagalan terbesar seorang guru boleh berlaku.

Bukan apabila murid gagal memenangi pingat.

Tetapi apabila murid berjaya mempelajari teknik Silat sambil mewarisi sikap buruk generasi sebelumnya.

Pembangunan pesilat muda sepatutnya merangkumi perkembangan psikomotor, kognitif, afektif, nilai kemanusiaan dan kemahiran sosial (Abdul Razak et al., 2022).

Maka pembangunan karakter bukan perkara sampingan.

Ia merupakan sebahagian daripada tujuan pendidikan Silat itu sendiri.

Kita Tidak Perlu Memilih: Sukan atau Budaya

Satu lagi kelemahan yang perlu dihentikan ialah kecenderungan meletakkan pembangunan Silat dalam bentuk pertentangan:

“Kalau sukan, hilang budaya.”

atau

“Kalau tradisional, tidak boleh maju.”

Dikotomi sebegini terlalu sederhana untuk realiti Silat moden.

Silat boleh menjadi warisan dan sukan.

Silat boleh mempunyai adat dan sains.

Silat boleh mempunyai guru tradisional dan penyelidik universiti.

Silat boleh mengajar seni dan prestasi.

Silat boleh mempertahankan identiti tempatan sambil mempunyai jaringan antarabangsa.

Malah literatur Silat yang berkembang sejak beberapa dekad lalu sudah menunjukkan kewujudan penelitian mengenai prestasi pertandingan, kecergasan, latihan, pembangunan kanak-kanak, kurikulum, kepimpinan, warisan dan organisasi.
Persoalannya bukan lagi sama ada Silat harus memilih satu sahaja.

Persoalannya ialah:

adakah pemimpinnya mempunyai kapasiti untuk mengurus kepelbagaian tersebut?

Ke Arah Kontrak Sosial Baharu dalam Organisasi Silat

Mungkin sudah sampai masanya organisasi Silat membentuk suatu budaya baharu berdasarkan lima prinsip.

1. Keahlian datang bersama tanggungjawab

Ahli yang mahukan hak perlu memenuhi tanggungjawab asas termasuk yuran, penglibatan dan pematuhan kepada peraturan organisasi.

2. Kebajikan mesti berasaskan keperluan, bukan mentaliti entitlement

Mereka yang benar-benar memerlukan bantuan perlu dibantu. Tetapi sistem tidak boleh dibina untuk membiayai individu yang sengaja mengelakkan tanggungjawab.

3. Guru mesti mempunyai pelan pembangunan murid

Sekurang-kurangnya guru perlu mengetahui bagaimana murid berkembang daripada pemula kepada pesilat, atlet, jurulatih dan seterusnya pemimpin.

4. Perbezaan perguruan tidak boleh menghalang kerjasama

Kerjasama tidak bermaksud menyerahkan identiti perguruan. Kerjasama bermaksud mencari ruang kepentingan bersama tanpa kehilangan prinsip masing-masing.

5. Pemimpin mesti meninggalkan sistem, bukan sekadar nama

Kejayaan sebenar pemimpin bukan berapa lama namanya disebut.

Kejayaan sebenar ialah sama ada organisasi masih boleh berfungsi apabila dirinya sudah tiada.

Kesimpulan

Krisis sebenar dalam sebahagian organisasi Silat bukan kekurangan teknik.

Bukan juga kekurangan guru.

Dan bukan semata-mata kekurangan wang.

Krisis yang lebih besar ialah kekurangan visi, kepimpinan, komitmen dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab bersama.

Mentaliti percuma hanyalah simptom kepada masalah yang lebih dalam.

Apabila seseorang sentiasa mahu menerima tanpa menyumbang, dia sebenarnya belum memahami makna organisasi.

Apabila seorang guru tidak mengetahui sama ada Silat yang dibawanya bergerak ke arah sukan, budaya, pendidikan, pembangunan manusia atau gabungan kesemuanya, dia sebenarnya sedang mempertaruhkan perjalanan anak muridnya.

Apabila persatuan hanya menjadi tempat meminta bantuan tetapi bukan medan memberikan sumbangan, semangat berpersatuan telah kehilangan maknanya.

Dan apabila ego guru lebih penting daripada masa depan murid, Silat akhirnya akan membayar harga yang paling mahal.

Kita perlu berhenti bertanya:

“Apa yang aku boleh dapat daripada Silat?”

Sebaliknya generasi guru hari ini perlu bertanya:

“Apakah sistem, nilai dan peluang yang akan aku tinggalkan kepada anak-anak murid selepas aku tiada?”

Kerana akhirnya ukuran kejayaan seorang guru bukanlah berapa ramai murid yang tunduk memberi hormat kepadanya.

Ukuran sebenar ialah berapa ramai murid yang mampu berdiri sendiri, bekerjasama dengan orang lain, meneruskan warisan, membangunkan organisasi dan membawa Silat lebih jauh daripada generasi gurunya.

Jika seorang guru gagal memberikan hala tuju tersebut, maka persoalan yang paling menyedihkan bukanlah ke mana Silat akan pergi.

Persoalannya ialah:

Ke mana anak-anak murid itu sedang dibawa?

Rujukan

Abdul Razak, S. N., & Muhamad, T. A. (2022). Effective leadership towards the star rating evaluation of Malaysian Seni Gayung Fatani Malaysia Organization (PSGFM). Ido Movement for Culture. Journal of Martial Arts Anthropology, 22(2S), 13–22. https://doi.org/10.14589/ido.22.2S.2

Abdul Razak, S. N., Muhamad, T. A., Meng, L. K., Abdul Rahim, M. R., Mohd Nor, M. A., Samsudin, H., & Nawai, N. S. (2022). A narrative exploration of issues in Silat development from children to youth athletes. Ido Movement for Culture. Journal of Martial Arts Anthropology, 22(2S), 23–30. https://doi.org/10.14589/ido.22.2S.3

Bickford, S. H. (2020). Martial arts leadership: Cultural and regional differences in motivations, leadership & communication. Martial Arts Studies, 10, 108–118. https://doi.org/10.18573/mas.114

Frasier, C. W. (2025). Barriers to membership in nonprofit trade associations. Public Organization Review, 25, 465–482.

Hassim, J. Z., Shapie, M. N. M., Razak, S. N. A., Kassim, R. N. M., & Meng, L. K. (2022). The legal aspects of formalizing the sportization development of martial arts societies in Malaysia. Ido Movement for Culture. Journal of Martial Arts Anthropology, 22(2S), 1–12. https://doi.org/10.14589/ido.22.2S.1

Olson, M. (1965). The logic of collective action: Public goods and the theory of groups. Harvard University Press.

Shapie, M. N. M. (2021). The warrior attitude (Sikap Pendekar) in Malay Silat encouraging Malaysian interest in global martial arts and combat sports. In S. Ryu, K. Lee, & J. Hwang (Eds.), Southeast Asian martial arts: A unique and complex cultural phenomenon (pp. 26–95). International Centre of Martial Arts for Youth Development and Engagement under the auspices of UNESCO.

Shapie, M. N. M., & Elias, M. S. (2016). Silat: The curriculum of Seni Silat Malaysia. Revista de Artes Marciales Asiáticas, 11(2S), 122–125. https://doi.org/10.18002/rama.v11i2s.4202

Shapie, M. N. M., Zenal, Z., Parnabas, V., & Abdullah, N. M. (2016). The correlation between leadership coaching style and satisfaction among university Silat Olahraga athletes. Ido Movement for Culture. Journal of Martial Arts Anthropology, 16(3), 34–39. https://doi.org/10.14589/ido.16.3.4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Latest Posts
Media
Our Team
  • PASSMAL instructors performing traditional Silat Melayu
  • PASSMAL Silat leadership and cultural mission
Categories
Terms