oleh: Prof. Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie (EMAC)
Perjalanan pembelajaran Silat bukan sekadar mengumpulkan sebanyak mungkin teknik. Ia merupakan proses membentuk pesilat secara berperingkat, bermula daripada gerak asas, penguasaan teknik, sambutan, tapak, aplikasi dan akhirnya tempur. Struktur ini dapat dilihat dengan jelas melalui tujuh tajuk utama dalam Sukatan Pelajaran Seni Silat Malaysia, iaitu Bunga, Jurus, Belebat, Tapak, Buah Pukul, Tempur Seni dan Tempur Beladiri.
Bunga memperkenalkan bahasa gerak seorang pesilat. Melalui langkah, kedudukan tubuh dan susunan gerakan, pesilat mula mengenali rupa dan bentuk Silat. Daripada asas itu, Jurus membentuk teknik yang lebih jelas melalui latihan serang bela yang dilakukan dengan ketepatan, kelajuan dan tenaga.
Kemahiran tersebut kemudiannya berkembang melalui Belebat, apabila pesilat belajar menyambut serangan sambil bergerak. Tapak pula memberi pemahaman tentang kedudukan, arah dan ruang. Perkembangan daripada garis lurus kepada pola tiga, empat, lima dan bulat menunjukkan bahawa seseorang pesilat perlu mampu bergerak dalam ruang yang semakin kompleks.
Apabila asas-asas tersebut semakin kukuh, Buah Pukul menghubungkan teknik dengan aplikasi. Pesilat mula berlatih bersama pasangan dan menggabungkan serangan, sambutan, elakan, tangkisan serta tindakan balas. Kemahiran ini seterusnya dibawa ke dalam Tempur Seni, yang menyatukan unsur tapak, serang dan sambut melalui bentuk gerakan yang tersusun. Kajian Shapie et al. (2023) turut mendokumentasikan Tempur Seni sebagai sebahagian daripada struktur Kurikulum Seni Silat Malaysia.
Kemuncak perkembangan ini ialah Tempur Beladiri, apabila pesilat perlu mengaplikasikan Buah Pukul, Sambut Elak dan Tangkis dalam keadaan pertarungan yang bergerak. Latihan berkembang daripada bentuk berpandu kepada tempur bebas, sekali gus menuntut pesilat menyesuaikan teknik mengikut jarak, arah dan tindakan lawan.
Namun, penguasaan tempur bukan bermaksud pembelajaran telah selesai. Sukatan Pelajaran Seni Silat Malaysia sendiri dibina secara berperingkat untuk mengukuhkan kefahaman, kemahiran dan kematangan pesilat. Shapie dan Elias (2016) turut menunjukkan bahawa pembelajaran Seni Silat Malaysia disusun dalam bentuk kurikulum yang sistematik.
Semakin tinggi kemahiran seorang pesilat, semakin penting untuk kembali memahami asas. Bunga menjadi lebih bermakna selepas seseorang memahami tempur. Jurus menjadi lebih jelas selepas pesilat mengetahui fungsi aplikasi. Tapak pula semakin penting apabila pesilat memahami ruang sebenar dalam pertarungan.
Daripada gerak kepada teknik. Daripada teknik kepada aplikasi. Daripada aplikasi kepada tempur. Dan daripada tempur kepada penguasaan diri.
Itulah perjalanan pembentukan seorang pesilat.
Rujukan
Shapie, M. N. M., & Elias, M. S. (2016). Silat: The curriculum of Seni Silat Malaysia. Revista de Artes Marciales Asiáticas, 11(2S), 122–125.
Shapie, M. N. M., Samsudin, H., Mohd Nazri, S., Indrayuda, I., Al-Syurgawi, D., Irawan, R., Mardela, R., Abdul Rahim, M. R., Abdullah, N. M., Parnabas, V., Nawai, N. S., & Donie. (2023). Seni Silat Malaysia Curriculum: The arts of silat combat in Tempur Seni. Research Journal of Budo, 56(Supplement), S76–S77. https://doi.org/10.11214/budo.56.S_76






























