oleh: Prof. Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie (EMAC)
Buah Pukul pada peringkat awal dipelajari secara berpasangan supaya pesilat dapat memahami hubungan antara serangan, sambutan dan serang balas. Namun, apabila kemahiran meningkat, latihan tidak lagi terhad kepada seorang pasangan atau satu arah sahaja. Pesilat perlu membina keupayaan untuk menyesuaikan gerakan apabila serangan datang daripada sudut dan kedudukan yang berbeza.
Dalam Sukatan Pelajaran Seni Silat Malaysia, Buah Pukul dinyatakan boleh digunakan secara berpasangan atau ketika menghadapi seorang lawan atau lebih. Perkembangan ini menuntut pesilat supaya tidak hanya menghafal urutan teknik, tetapi mampu memahami ruang, kedudukan dan arah serangan.
Latihan menggunakan Tapak Empat dan Tapak Lima menjadi penting apabila pesilat mula menghadapi situasi pelbagai arah. Sukatan menunjukkan pesilat boleh berada di tengah Tapak Empat dan melakukan serang bela terhadap lawan dari empat penjuru. Dalam Tapak Lima pula, pesilat melakukan Langkah Silat dan boleh menerima serangan daripada lima penjuru. Tujuan latihan tersebut ialah membina kemahiran menghadapi lawan dari pelbagai arah.
Pada tahap ini, Buah Pukul juga mengembangkan konsep penyerang aktif, iaitu pesilat menyerang sambil melakukan potong sambut sebelum disertakan serangan langsung ke sasaran. Antara bentuk yang dinyatakan ialah Buah Sambut Meranting luar dan dalam serta Buah Sambut Meruas luar dan dalam. Ini menunjukkan bahawa pesilat perlu mampu menyesuaikan tindakannya dengan perubahan arah dan bentuk serangan.
Apabila kemahiran semakin tinggi, aplikasi Buah Pukul berkembang kepada Sambut Tangkap. Sukatan menerangkan bahawa tangkapan boleh diikuti dengan pukulan, jatuhan, kuncian dan pelepas kunci. Antara kedudukan yang digunakan ialah Tangkap Meranting, Tangkap Meruas dan Tangkap Pangkal, sementara kemahiran Elak dan Tangkis terus menjadi asas kepada tindakan tersebut.
Perkembangan daripada seorang pasangan kepada pelbagai arah mencerminkan sifat progresif Kurikulum Seni Silat Malaysia (Shapie & Elias, 2016). Kajian profil aktiviti dalam pertandingan Silat juga memperlihatkan bahawa pergerakan dan tindakan pesilat sentiasa berubah sepanjang pertarungan, sekali gus menunjukkan kepentingan keupayaan menyesuaikan diri terhadap situasi yang dinamik (Shapie et al., 2013).
Justeru, matlamat latihan Buah Pukul bukan hanya supaya pesilat mengetahui banyak teknik. Yang lebih penting ialah kemampuan memilih dan menyesuaikan teknik mengikut arah, jarak, kedudukan serta tindakan lawan. Dari sinilah pesilat mula bergerak daripada aplikasi berpasangan kepada kemahiran yang lebih matang sebelum memasuki Tempur Seni dan Tempur Beladiri.
Rujukan
Shapie, M. N. M., & Elias, M. S. (2016). Silat: The curriculum of Seni Silat Malaysia. Revista de Artes Marciales Asiáticas, 11(2S), 122–125.
Shapie, M. N. M., Oliver, J., O’Donoghue, P. G., & Tong, R. (2013). Activity profile during action time in national Silat competition. Journal of Combat Sports and Martial Arts, 4, 81–86.






























